Sering kali, karangan yang dianggap lemah disebabkan oleh beberapa faktor. Antaranya adalah seperti berikut:
Ø Pemilihan Jalan Cerita Yang Salah
Kesalahan memilih jalan cerita biasanya berlaku kerana murid tidak memahami apa yang dikehendaki oleh soalan. Keadaan ini terjadi mungkin juga kerana pelajar terburu-buru untuk menyelesaikan penulisan mereka.
Kesalahan memilih jalan cerita juga boleh berlaku kerana daya pemikiran dan imaginasi yang rendah serta idea yang terhad. Oleh itu, penulis digalakkan untuk memperbanyakkan membaca bagi meluaskan lagi daya pemikiran dan imaginasi individu.
Langkah-langkah yang perlu diambil:
• Baca soalan dengan teliti dan pastikan kamu tidak terkeluar daripada situasi yang telah ditetapkan.
• Guna soalan-soalan rangsangan untuk membantu kamu memahami kehendak soalan.
• Cuba untuk menggunakan setiap kata/frasa bantuan jika diberi.
Ø Isi Yang Kurang Mencukupi
Oleh sebab kekurangan isi, sesetengah murid menghuraikan isi secara mendatar atau meleretleret sehingga membosankan. Ini juga boleh menyebabkan terjadinya pengulangan isi yang sama. Hal ini berlaku kerana murid kurang membaca dan terhadnya pengetahuan.
Langkah-langkah yang perlu diambil:
• Gaya bahasa harus kreatif untuk mengelakkan jalan cerita yang mendatar atau meleret.
• Lengkapkan isi dengan menggunakan kaedah penceritaan yang baik.
• Sesebuah karangan itu memerlukan 4 unsur penting iaitu tema, plot, latar dan watak.
• Lakarkan isi karangan kamu dengan menggunakan teknik 5W1H iaitu, “siapa, apa, di mana, mengapa, bagaimana dan berapa,” bagi membantu kamu mengembangkan isi.
• Jalan cerita yang dianggap menarik mengandungi unsur suspens, persoalan ingin tahu lebih lanjut dalam diri pembaca, konflik dan juga isi yang unik.
• Tonjolkan watak-watak yang mengandungi sifat-sifat yang menarik.
Ø Pembahagian Perenggan Yang Bercelaru
Melonggokan beberapa isi dalam satu perenggan merupakan suatu penulisan yang kurang baik. Ini menyebabkan isi-isi yang ingin ditonjolkan itu tidak dapat dihurai secara mendalam. Karangan yang mempunyai hanya satu perenggan untuk sebuah karangan akan menimbulkan jalan cerita yang bercelaru dan ada kalanya kurang difahami pembaca. Jalan cerita seperti ini selalunya tidak tersusun atau tidak dapat dikembangkan dengan betul.
Langkah-langkah yang perlu diambil:
• Karangan kamu untuk peperiksaan PSLE tidak boleh kurang daripada 150 patah perkataan.
• Kawal keseimbangan jumlah kata dalam setiap perenggan.
• Susunan isi karangan yang betul tidak akan menjejas pembahagian perenggan kamu.
Ø Tidak merangka atau merancang karangan
Merancang atau merangka jalan cerita dan isi amat penting dalam penulisan karangan. Ramai murid yang memilih untuk terus mula mengarang tanpa memikirkan isi yang sesuai untuk karangan yang bakal dihasilkan. Oleh disebabkan itu, sesebuah karangan itu mungkin akan menyebabkan susunan isi tidak berurutan. Malahan, akan terdapat isi yang berulang. Ini adalah kerana, sikap pelajar mengharapkan isi yang spontan semasa mengarang.
Cerita yang tidak dirancang dengan baik juga disebabkan jalan cerita atau peristiwa yang tidak dapat dikembangkan dengan baik.
Langkah-langkah yang perlu diambil:
• Gunakan sedikit masa untuk merancang jalan cerita kamu sebelum mula mengarang. Kamu digalakkan untuk hanya mengambil 5 minit sahaja.
• Rangka cerita mengikut plot yang mengandungi urutan cerita seperti masalah (konflik/klimaks), punca dan penyelesaian.
• Gunakan 50 minit dengan sebaik-baik mungkin:
• 5 minit untuk merancang
• 40 minit untuk menulis
• 5 minit untuk menyemak
• Pastikan karangan kamu mempunyai idea utama dan disokong dengan idea-idea sampingan serta ataupun penyelesaian. Ini kerana, karangan yang tidak lengkap akan menjejaskan markah.